Print

Penilaian ekonomi agrobiodiversiti: Kesanggupan membayar (WTP) bagi pemuliharaan spesies buah-buahan nadir di Malaysia

Dalam kajian ini seramai 218 responden telah ditemu bual bagi menilai kesanggupan mereka menyumbang (WTP) kepada dana amanah bagi memulihara kepelbagaian spesies buah-buahan nadir yang dikhuatiri akan pupus. Majoriti
responden (74.31%) didapati sanggup menyumbang kepada dana yang dimaksudkan dengan nilai yang berbeza. Analisis regresi logit dan probit menunjukkan bahawa angkubah harga bida, kadar sumbangan sebenar dan jenis pekerjaan mempengaruhi kesanggupan individu untuk menyumbang kepada tabung dana amanah yang dimaksudkan. Analisis regresi berganda mendapati bahawa angkubah sandar iaitu kadar sumbangan sebenar yang sanggup dibayar oleh individu dipengaruhi oleh faktor jantina, usia dan tahap pelajaran individu. Purata kesanggupan untuk membayar ialah RM47.13 seorang sepokok setahun dengan nilai median dan mod RM50.00 seorang sepokok setahun. Jika diandaikan bahawa dalam satu kawasan bank janaplasma, tiap-tiap spesies buah-buahan nadir mempunyai purata lima asesi dan tiap-tiap asesi memerlukan sekurang-kurangnya tiga pokok untuk dipulihara, maka nilai ekonomi bagi tiap-tiap spesies ialah RM750 setahun. Keputusan ini boleh dijadikan panduan oleh pihak kerajaan untuk merencana dasar bagi membiayai usaha pemuliharaan buah-buahan nadir di negara ini. Wang sejumlah itu boleh dijana secara terancang umpamanya dengan menitip sebahagian daripada sumbangan pembayar cukai untuk disalurkan kepada organisasi seperti MARDI yang terlibat secara langsung dalam memulihara spesies buah-buahan nadir di negara ini.

 
X

Right Click

Not allowed