Print

Perkembangan projek pengkelompokan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

Di Malaysia, kelompok tani banyak ditubuhkan di kawasan jelapang padi seperti di kawasan MADA dan di kawasan pertanian sayur dan buah-buahan di serata tempat di seluruh negara. Penubuhan organisasi seperti ini merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk memastikan kemajuan dan pembangunan masyarakat petani. Tujuan penubuhannya adalah untuk memastikan operasi ladang dapat dilakukan dengan lebih cekap dan efisien memandangkan petani di bawah kelompok tani bekerjasama menjalankan operasi ladang secara berjadual, teratur dan bersistematik untuk mencapai tahap kecekapan ekonomi pengurusan ladang mereka. Kajian dijalankan untuk melihat perkembangan terkini projek kelompok tani ini dan juga perubahan dari sudut amalan teknikal dan pengurusan ladang yang mungkin mempengaruhi peningkatan produktiviti petani. Kajian mendapati seramai 47.6% responden faham akan faedah penyertaan di dalam kelompok tani. Manakala 41.4% responden menyertainya apabila melihat kejayaan kawan-kawan yang telah menyertai kelompok tani. Seramai 97.9% responden bersetuju bahawa ada perbezaan pendapatan dalam hasil padi sebelum dan selepas menyertai kelompok tani. Manakala dari segi kewangan pula, 77.2% responden bersetuju bahawa ada sedikit peningkatan kepada mereka sebelum dan selepas menyertai kelompok tani. Penyertaan di dalam kelompok tani seharusnya meningkatkan amalan pengurusan seseorang petani itu. Secara keseluruhannya, kajian mendapati bahawa proses pengkelompokan petani masih mengekalkan tiga bentuk pengurusan kelompok tani iaitu Kelompok, Projek Separa Perladangan (PSP) dan Projek Sawah Secara Perladangan (PSSP). Walau bagaimanapun, bilangan penubuhan Kelompok baru telah dikurangkan dan ditumpukan kepada penubuhan PSP dan penambahan kepada pembentukan PSSP baru. Sistem pengurusan yang digunakan oleh setiap jenis kelompok tani masih sama dengan kebanyakan Kelompok yang diuruskan oleh petani sendiri, PSP oleh AJK/PPK dan PSSP pula banyak diuruskan oleh PPK/MADA dan dibantu oleh AJK yang dibentuk.

 

Copyright 2012 ©
Economic and Technology Management Research Centre,
MARDI Headquarters, Persiaran MARDI- UPM, 43300 SERI KEMBANGAN,
SELANGOR, MALAYSIA
Best viewed in IE 8.0, Mozilla Firefox 3.0, Google Chrome version 9.0 & above